Sunday, June 6, 2010

Sekretariat Pekerja Muda Sentiasa Membantu



Link Dari : www.pemuda.com.my

Oleh S.A Najmuddin

Pelabuhan Klang, 5 Jun – Setelah berada dalam keadaan tidak menentu lebih seminggu yang lalu akhirnya lebih 400 pekerja kilang perabot Kenmark Industrial Co (M) Bhd menarik nafas lega apabila mereka dipanggil semula bekerja Isnin ini.

Penyelesaian ini tercapai apabila kilang itu yang menutup operasinya secara tiba-tiba pada 27 Mei lalu akan meneruskan operasinya dan mengambil semula semua pekerja untuk bekerja seperti biasa.

Sambil menyifatkan sebagai satu kejayaan, Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata penyelesaian yang dilakukan hari ini telah meleraikan kekusutan dan kekeliruan di kalangan pekerja kilang terbabit.

"Bayangkan mereka secara tiba-tiba seperti hilang pekerjaan apabila tidak dibenarkan masuk bekerja pada 27 Mei lalu. Tanpa sebarang notis dan penjelasan, mereka sebenarnya berada dalam keadaan yang cukup mengelirukan.

"Tapi akhirnya perkara itu dapat diselesaikan menerusi pertemuan hari ini. Pengurusan kilang yang baru akan mengambil semula semua pekerja untuk terus bekerja di kilang tersebut", katanya di sini, hari ini.

Namun kata beliau, pihaknya mahu pengurusan kilang terbabit mengeluarkan satu surat hitam putih sebagai memberi jaminan kepada pekerja terbabit.

"Pihak pengurusan kilang bersetuju dengan permintaan kita itu dan akan keluarkan surat tersebut secepat mungkin", ujarnya.

Penyelesaian isu itu dicapai hasil pertemuan dengan Kenmark Industrial yang diwakili pengarahnya, Woon Wai En dan empat wakil pekerja diketuai oleh Abdul Halim Mohd Aini.

Selain Nazir, turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja Selangor, Fong Khei Por.

Sementara itu, Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja Selangor, Fong Khei Por berkata isu itu selesai selepas pihak pengurusan baru dengan wakil pekerja berjaya mencapai kata sepakat dan memutuskan untuk meneruskan operasi.

Menurutnya apa yang berlaku adalah isu komunikasi dan keadaan panik kerana pekerja tidak mengetahui status mereka sehingga petang Jumaat.

"Sebenarnya Kenmark Industrial tidak tutup tetapi operasinya dihentikan untuk proses penaksiran aset, sebab itu pekerja tidak dapat bekerja.

"Hasil perbincangan, semua pihak bersetuju bahawa pekerja tidak alami apa-apa kerugian dan pihak majikan berjanji akan bayar gaji seperti sediakala, tiada apa-apa kekurangan," katanya.

Bagi pihak pengurusan Kenmark Industrial pula, pengarahnya, Woon Wai En berkata pihak syarikat mengalu-alukan kesemua pekerja terbabit kembali bekerja bagi membolehkan kilang memulakan operasi secepat mungkin, di bawah pengurusan baru yang mengambil alih operasi syarikat sejak tiga hari lepas.

Wakil pekerja, Abdul Halim Mohd Aini pula berkata pihaknya berterima kasih kepada semua pihak terutama Jabatan Tenaga Kerja yang membantu mereka menyelesaikan masalah itu.

"Atas pertemuan dan persetujuan yang dicapai hari ini kami dan pihak pengurusan capai kata sepakat supaya semua pekerja yang nasibnya terumbang-ambing berikutan masalah ini kembali bekerja di bawah pengurusan baru.

"Kami setuju dengan cadangan yang dibincangkan hari ini," ujarnya.

No comments: