Dipetik dari : www.umno-online.com
SIBU, 3 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) serius, punya hala tuju yang jelas dan mampu menerajui negara ke arah kemajuan yang lebih pesat.
Beliau menegaskan, BN sentiasa serius dan komited untuk membela nasib rakyat dan tidak menabur janji palsu dan bercakap retorik.
“BN adalah kerajaan yang ada hala tuju dan ikhlas dalam membela nasib rakyat. Sebagai Perdana Menteri, saya nak katakan, kami kerajaan BN boleh menerajui negara ini ke arah kemajuan lebih pesat,” katanya pada perhimpunan Malam 1Malaysia di Dataran Bandar Sibu, di sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Setiausaha Agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan bakal calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu akan diadakan pada 16 Mei ini, dengan penamaan calon ditetapkan pada 8 Mei.
Najib mengingatkan pengundi di Sibu bahawa akan berlaku kepincangan dan wujud jurang besar, jika mereka memilih pembangkang pada pilihan raya kecil itu.
Katanya, jika pembangkang menjadi pilihan mereka, ia akan menjejas rancangan kerajaan untuk mentransformasikan bandar Sibu khususnya dan Sarawak pada amnya.
Beliau yang juga berjanji akan mengaturkan peruntukan untuk sekolah bantuan Cina di sini, turut menceritakan mengenai tiga beradik yang menyampaikan surat mengimpikan universiti dibuka di Sibu sambil membawa poster ‘kami mengimpikan untuk mempunyai universiti di Sibu’ ketika beliau melawat Sungai Merah pada sebelah pagi semalam.
“Kerajaan BN sentiasa menyedari kepentingan pendidikan dan memberi jaminan akan berusaha memastikan setiap lapisan rakyat mendapat pendidikan sebaik mungkin,” katanya.
Mengenai pemilihan Hui Yew atau lebih dikenali sebagai Robert Lau Junior sebagai calon, Najib berkata, beliau dan Taib sudah memeriksa calon berkenaan dan mengesahkan beliau adalah pilihan terbaik serta memiliki ciri dedikasi yang turut dimiliki mendiang Datuk Robert Lau, bekas Ahli Parlimen Sibu.
Perdana Menteri dan isteri berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas selepas melalui acara lawatan yang begitu padat di bandar ini sepanjang hari semalam.
No comments:
Post a Comment