KENYATAAN AKHBAR
SEKRETARIAT PEKERJA MUDA, PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
30 JUN 2010
“PELUANG PEKERJA MISKIN MELANJUTKAN PENGAJIAN DI UITM”
Saya bagi pihak Sekretariat Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik dan menyokong penuh usaha Universiti Teknologi MARA (UiTM) di bawah program Destini Anak Bangsa UiTM membuka peluang kepada pekerja-pekerja yang berhasrat untuk menyambung pengajian tetapi tidak berkemampuan mengikuti program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dan luar kampus di UiTM pada tahun ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana terus membantu golongan muda secara berterusan. Ini merupakan hadiah dan penghormatan yang cukup tinggi diberikan kepada pekerja-pekerja yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai minat dan cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke satu tahap yang lebih tinggi.
Usaha ini merupakan satu lembaran baru bukan sahaja dalam sektor pendidikan malah ianya dapat melahirkan modal insan yang lebih berkualiti bagi memenuhi permintaan pasaran kerja serta membantu golongan tersebut meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.
Pekerja-pekerja terutamanya di sektor perkilangan dan perkhidmatan diseluruh negara perlu menyambut baik dan bijak merebut peluang serta inisiatif di atas tanggungjawab sosial (CSR) pihak UiTM yang pertama kali diperkenalkan di negara ini. Mereka juga perlu bijak memilih bidang pengajian mengikut pengalaman mereka dan juga pasaran kerja. Golongan muda perlu lebih peka agar mereka tidak ketinggalan dan dapat bergerak seiring dengan hasrat kerajaan dalam perlaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB).
Saya juga menyarankan kepada IPTA dan IPTS yang ada di negara ini mengambil langkah serta usaha yang sama dilaksanakan oleh UiTM agar masa depan terutamanya golongan muda dapat dibantu.
Di samping itu, Saya menyarankan agar satu jawatankuasa pemantau dibentuk oleh Kementerian Pengajian Tinggi ataupun UiTM sendiri agar usaha yang murni ini dapat mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan supaya ianya tidak menjadi satu usaha yang sia-sia.
Sekretariat Pekerja Muda bersedia untuk memberi kerjasama dengan mana-mana pihak demi untuk menjayakan usaha ini dan meminta agar lebih banyak program-program peluang kedua untuk generasi muda yang pernah gagal dalam SPM, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda kerana ianya benar-benar diperlukan.
NAZIR HUSSIN AKHTAR HUSSIN
PENGERUSI SEKRETARIAT PEKERJA MUDA
No comments:
Post a Comment